PLANET AIZA MIRA

PLANET AIZA MIRA

Tuesday, July 17, 2012

Geografi- Hakisan 2


( b) Huraikan proses-proses hakisan di dalam alur sungai.

Proses – proses hakisan di dalam alur sungai terbahagi kepada empat tindakan iaitu hidraulik,geselan,lagaan dan larutan.

Tindakan hidraulik melibatkan penyerbuan dan hempasan air yang mengalir ke dalam struktur batuan yang lemah seperti rekahan,retakan dan lubang di tebing dan dasar sungai.Keberkesanan hakisan ini adalah dipengaruhi oleh had laju air yang mengalir.Mekanisme proses hakisan ini melibatkan pencukilan keluar butiran batuan daripada struktur yang semakin lemah.Aliran air yang deras akan menghasilkan kuasa yang kuat untuk melakukan hakisan secara tindakan hidraulik.Umumnya,proses ini sangat giat berlaku apabila air mengalir deras dalam bentuk turbulen dan proses eddi terutama di bahagian air terjun,jeram dan lubang periuk.

Manakala proses geselan merujuk kepada kegiatan geselan antara muatan sungai dengan air sungai terhadap tebing dan dasar sungai.Muatan sungai yang menyebabkan berlakunya tindakan ini ialah ketulan batu kelikir dan butiran pepejal yang kasar seperti pasir.Lelasan biasanya dapat melicinkan ketulan batuan yang berbucu tajam kepada yang lebih bulat dan licin permukaannya seperti batu kerikil.Malah bekalan muatan ini bergantung kepada keberkesanan proses-proses luluhawa dan pergerakan jisim di sepanjang lurah sesuatu sungai.Lelasan boleh mendalam dan melebarkan alur sungai.

Selain itu,proses hakisan lagaan berlaku akibat pergeselan di antara muatan yang terdapat di dalam sungai yang berlaga sesama sendiri serta dengan tebing dan dasar alur sungai semasa pengalirannya.Oleh sebab itu,maka ketulan batuan yang besar boleh mengalami penghausan dan akhirnya muatan di yang dibawa oleh aliran sungai menjadi semakin mengecil.Malah dinding dan dasar alur sungai juga boleh mengalami retakan bergantung kepada keras-lembut muatan yang dibawa.Pada amnya,kekuatan proses ini bergantung kepada kelajuan arus sungai yang membawa muatan yang diseret sehingga menyebabkan berlakunya lagaan.


Akhir sekali hakisan melalui proses larutan bermakna tindak balas secara kimia antara air sungai dengan mineral geologi yang membentuk tebing dan dasar alur sungai.Sekiranya batuan dinding tebing dan dasar alur sungai terdiri daripada geologi yang lembut seperti batu kapur,gypsum,dan dolomit maka ia mudah mengalami larutan.Malah air sungai bertindak sebagai pelarut akan melarutkan mineral-mineral batuan dan dialirkan bersama-sama dengan aliran sungai.Proses ini menhasilkankan struktur dan tekstur batuan tebing serta dasar alur sungai yang lebih longgar dan tidak stabil seterusnya mudah runtuh.Keberkesanan proses ini bergantung kepada keasdian air sungai dan darjah pergerakan mineral geologi yang membentuk tebing dan dasar alur sungai tersebut(mobility mineral) apabila ia bertemu dengan air sungai.

No comments:

Post a Comment