PLANET AIZA MIRA

PLANET AIZA MIRA

Saturday, January 12, 2013

Sebuah Kenangan


Tahun lepas, aku kehilangan seorang insan yang aku sayang iaitu Arwah Datuk. Pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar buat keluarga kecil kami. Pada aku, kenangan bersamanya akan aku kenang sepanjang hayat. 

Arwah dimasukkan ke hospital selama sebulan. Sepanjang tempoh tu, adik (Alia) bergilir-gilir menjaganya bersama emak dan teh (ibu saudara). Sungguh aku bersyukur Alia ada dikampung kerana masih belajar di tingkatan 6. Aku yang jauh di Kuala Lumpur hanya mampu bertanya khabar dan menitip doa dari kejauhan. 

Masuk minggu ke 4 di hospital, arwah dibenarkan pulang selepas Dr memasukkan wayar bagi membolehkan arwah diberi susu kerana badan arwah tidak lagi mampu menerima makanan. Namun keesokkan harinya, arwah dikejarkan kembali ke hospital kerana terdapat darah yang keluar dari saluran susu yang dimasukkan Dr. 

Aku yang berada di Mid Valley kerana mahu menghabiskan baucer buku yang terakhir pada hari terakhir penggunaannya bergegas menaiki Komuter ke Sg Buloh sehelai sepinggan apabila menerima panggilan dari ibu saudara. Tepat jam 7 malam, kami berangkat pulang ke Dungun selepas ibu saudara menjemputku di Stesen Komuter Sg Buloh. 

Aku tiba di Hospital Dungun lebih kurang jam 2 pagi. Setiba di Hospital aku mengambil keputusan untuk membantu menjaga arwah bersama Alia di Hospital. Masuk hari kedua, keadaan arwah semakin membimbangkan. Lebih kurang jam 3 petang kami membawa arwah pulang ke rumah dengan bantuan ambulance Jabatan Pertahana Awam Dungun. Hal ini kerana ambulance Hospital Dungun mempunyai pesakit lain yang perlu dihantar ke Hospital besar Kuala Terengganu. 

Arwah menghembuskan nafas terakhir selepas lebih kurang sejam dibawa pulang ke rumah. Aku redha. Allah lebih menyayanginya. Banyak impian yang aku simpan untuk aku tunaikan bersama arwah. Semuanya tinggal impian. Satu kenangan yang aku simpan ialah kain pelikat yang aku belikan buat arwah pada tahun 2011 di Pasar Kedai Payang. Kain pelikat itulah yang digunakan untuk menutup jenazah arwah di rumah dan aku meminta izin untuk menyimpannya. 

Ya. Kami cucu-cucunya tidak berminat untuk bertanya atau berebut harta. Kami tidak berminat untuk berebut pusaka. Kami cuma berminat menyimpan kenangan yang lebih bernilai bersamanya. Disaat aku menulis entri ini, sungguh aku rindu pada arwah. Al-Fatihah. 



Gambar sekeluarga buat kali terakhir yang ada dalam simpanan. Gambar ni diambil masa Hari Raya Aidilfitri  (2011) lepas. 



Raya tanpa dia memang sunyi. Cumanya bagi aku, kenangan bersama dirinya sejak aku kecil sehinggalah aku dewasa sangatlah besar maknanya.

No comments:

Post a Comment