PLANET AIZA MIRA

PLANET AIZA MIRA
Showing posts with label PLANET KARYA KREATIF. Show all posts
Showing posts with label PLANET KARYA KREATIF. Show all posts

Tuesday, October 27, 2015

#KOTAKATA2015



24 OKTOBER 2015, Tarikh keramat. Tarikh hari jadi tuan tanah blog ni yang ke-25.. hahahaha... Jadi bersempena tarikh hari jadi ni, tuan punya blog mengambil peluang untuk meluangkan masa menjejakkan kaki ke #Kotakata. 



    Aiza Mira, dah merancang nak ke #Kotakata ni lebih kurang 2 minggu sebelum lagi, bila terbaca poster yang dikongsikan sahabat-sahabat di dinding facebook. Dah lama sebenarnya tidak menjejakkan kaki ke mana-mana acara puisi. Biasanya bukan tak nak pergi, tapi mesti bertembung dengan acara lain dan beberapa kesulitan seperti kenderaan untuk pergi dan balik. 

    Jadi, bila #Kotakata ni diadakan di hadapan Maju Junction dan kebetulan dekat dengan  Komuter, senang la Aiza Mira nak pergi. Sabtu pulak tu, (kebetulan tak ada acara di sekolah). Ini diantara tentatif program #Kotakata ni :



      Ramai jugak, penerbit yang turut serta dalam majlis yang diacarakan oleh Aloy Paradoks ni. Contohnya seperti Sindiket Sol-Jah, Dubook Press, Legasi Oakheart, dan pelbagai lagi. Ramai sangat, penat nak list. Huhuhuhu... 

     Memang meriah, dan dashat la suasana masa hari kejadian. Aiza mira sendiri, lepak di majlis ni dari petang lebih kurang pukul 4petang sampai 9 malam.



      Sambil-sambil dengar bacaan puisi, boleh duduk baca buku yang dibeli dan bersantai-santai dengan air dan makanan. Mana nak dapatkan..... Memang siapa yang tak pergi patut cemburu. Hikhikhik...




    Sebelum balik, mesti beli buah tangan dulu.. jadi... tara... buah tangan #Kotakata 


   Buku "huruf sudah merajuk sewaktu menjadi tajuk"... buku tulisan seorang sahabat MPR . Aiza cari jugak kelibat penulisnya, nak tuntut tandatangan.. hahaha.. tapi tak ada rezeki, mungkin lain kali. Kepada pembaca diluar sana, cepat dapatkan. Harganya cuma rm5 sahaja. Ringkas tapi bermakna.. Kata-kata yang membawa kita pada pemikiran yang lebih luas....

Oleh sebab, Aloy Paradoks ada kat acara ni, jadi Aiza tuntut tandatangan terus la.. ni dia, novel tinggalkan aku satu peluru...


  Masa Aiza Mira sampai, dah petang. Aiza Mira terlepas persembahan Randai. Jadi bila balik, rasa menyesal jugak la.. tapi... bila gatal-gatal tangan cari di youtube.. taip #Kotakata.. taraa... RANDAI.. terlunaslah hajat di hati nak tengok Randai.. Kalau nak tahu, apa itu Randai.. tgok kat sini yer... 

https://www.youtube.com/watch?v=AU-kVr534z4

Thursday, September 5, 2013

ANTOLOGI KALAM PERTAMA, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA.


Antologi ini merupakan antologi yang ketiga Aiza. Namun, antologi ini merupakan yang pertama di terbitkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.

keratan akhbar mengenai antologi ini.



Antologi ini dihasilkan bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain. Buku ini merupakan buah tangan pertama yang menghimpunkan semua karya penulis semasa menyertai Minggu Penulis Remaja 2011, di Melaka.

Harapan Aiza, semoga di masa akan datang, lebih banyak karya yang dapat Aiza hasilkan dan dapat diberi peluang untuk bekerjasama dengan pihak Dewan Bahasa lagi. Perasaan melihat antologi ini di rak buku merupakan perasaan yang tak dapat digambarkan.  

ANTOLOGI RUNTUHNYA EMPAYAR CINTA, IPG KAMPUS BAHASA MELAYU.

Antologi ini merupakan antologi kedua yang memuatkan karya Aiza  dan diterbitkan oleh pihak institut. Antologi ini memuatkan hasil karya ahli-ahli kelab penulisan kreatif di IPG Kampus Bahasa Melayu. 


Memandangkan tidak lama lagi, Aiza bakal menamatkan pengajian, antologi ini mungkin menjadi yang terakhir sepanjang Aiza bergelar guru pelatih di sini.

ANTOLOGI MEMORABILIA SEMUSIM, IPG KAMPUS BAHASA MELAYU

Antologi ini merupakan antologi pertama Aiza yang diterbitkan oleh pihak institut. Antologi ini mengambil masa hampir setahun setengah untuk disiapkan. 

Aiza telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai editor antologi ini. 

Gambar kenangan bersama pensyarah penasihat,
DR. MASHUDI BAHARI.

Bersama rakan-rakan penulis yang lain ketika majlis pelancaran dan penyampaian naskah antologi ini. 

Semua penulis di dalam antologi ini merupakan rakan sekelas Aiza iaitu para pelajar IPG Kampus Bahasa Melayu, PISMP C, ambilan januari 2010.


Tuesday, July 3, 2012

Skrip Langkah Kemerdekaan

TEMA

Tema drama ini ialah semangat patriotisme yang membara di kalangan pemimpin dan rakyat tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan daripada pihak British. Drama ini berkisarkan tentang rentetan daripada kemenangan parti perikatan di dalam pilihan raya yang telah membawa kepada rundingan untuk menuntut kemerdekaan. Lantas, satu rombongan yang di sertai oleh wakil parti perikatan, raja-raja melayu dan pegawai British di tanah Melayu telah bertolak ke London untuk menuntut kemerdekaan daripada pihak kerajaan British.


Watak

Pegawai 1
Pegawai 2                  Pegawai British Di London
Pegawai 3

Tunku
Dr.Ismail                                   Wakil Parti Perikatan
Kolonel H.S Lee
Dato’ Abdul

Dpbg                Dato’ Panglima Bukit Gantang,Wakil Raja-Raja Melayu

Kerani              Kerani Di Pejabat Kerajaan British Di London.

SKRIP.


( Kelihatan sebuah bilik bersaiz sederhana yang mempunyai sebuah meja besar
yang dikelilingi kerusi.Susun atur dan perhiasan di dalam bilik itu bertemakan gaya
inggeris.)

PEGAWAI 1          : ( berjalan masuk ke bilik itu,diikuti oleh dua orang pegawai yang lain ) kamu sudah tahu yang wakil daripada Tanah Melayu mahu datang ke mari untuk menuntut kemerdekaan?

PEGAWAI 2           : ( mengangguk-ngangguk ) apa harus kita lakukan ?

PEGAWAI 1           : Kita tidak boleh menghalang penduduk Tanah Melayu daripada    menuntut kemerdekaan untuk negara mereka.

PEGAWAI 3       : ( mengeluh,terdiam seketika,kemudian berkata lagi dengan harapan    baru) tetapi kita harus mengekalkan kepentingan di Tanah Melayu.Kita masih berhak ke atas perkembangan ekonomi yang telah kita lakukan.

PEGAWAI 1           : Benar,tetapi Tanah Melayu bukan milik kita.

  PEGAWAI 2            : ( Kasar ) Apa maksudmu Tanah Melayu bukan milik kita? kita yang   membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun.bukankah kita yang telah memerintah…

PEGAWAI 1           : ( Sinis) atau menjajah…

PEGAWAI 3      : Jadi maksudmu,kita harus membebaskan Tanah Melayu. Bagaimana  dengan kepentingan kita disana?

PEGAWAI 1     : Aku fikir lebih baik kita tunggu kedatangan rombongan mereka.selepas itu,barulah kita memutuskan keputusan yang harus kita ambil.


( Suasana yang tegang menjadi semakin tenang.masing-masing berdiam
diri.Seketika kemudian kedengaran pintu bilik diketuk.)

KERANI                  : Tuan,rombongan daripada tanah melayu telah tiba.

PEGAWAI 1            : ( Berdiri sambil membetulkan pakaiannya) suruh mereka  masuk.

TUNKU                   : Selamat pagi,tuan.

SEMUA PEGAWAI : ( Serentak,sambil menghulurkan tangan untuk bersalam ) Selamat pagi,sila masuk.

( Semua pegawai dan ahli rombongan daripada Tanah Melayu mengambil tempat
masing-masing.)

TUNKU                    : Kedatangan kami ke mari adalah untuk membincangkan tentang status Tanah Melayu.Kami berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk pihak British menyerahkan semula Tanah Melayu kepada penduduknya.

PEGAWAI 3            : Adakah kamu merasa sudah mampu untuk mentadbir Tanah Melayu ?

TUNKU                    : Kami yakin mampu mentadbir  Tanah Melayu,tetapi kami masih memerlukan pertolongan daripada pihak British.

PEGAWAI 1             : Pertolongan yang bagaimana kamu maksudkan?

TUNKU                    : Pertolongan daripada segi sistem pentadbiran dan pihak Parti Perikatan mahu menuntut beberapa perkara dengan pihak British.

PEGAWAI 2             : Apa yang pihak Parti Perikatan mahukan?

Dr.ISMAIL                : Kami mahu jawatan Setiausaha Kewangan sekarang digantikan dengan Menteri Kewangan dan disandang oleh rakyat Tanah Melayu.

     DATO’ ABDUL         : Menteri Hal Ehwal Ekonomi digantikan dengan seorang rakyat Tanah Melayu.

KOLONEL H.S LEE  : Menteri Pertahanan juga dilantik dari kalangan rakyat Tanah Melayu menggantikan pengarah gerakan yang dijawat oleh Pegawai British sekarang.Menteri Pertahanan juga akan menjadi Pengerusi Majlis Gerakan Darurat.

PEGAWAI  2              : ( mengangguk-angguk ) Tuntutan-tuntutan ini mempunyai kepentingan tersendiri bersesuaian dengan status Tanah Melayu yang ke arah bernegara sendiri.

PEGAWAI  1              : Kami juga bimbang untuk melepaskan Tanah Melayu.Tanah Melayu mempunyai penduduk yang berbilang kaum.Mampukah semua kaum hidup harmoni sesama mereka di Tanah Melayu?

DPBG                         : Penduduk di Tanah Melayu mampu bekerjasama dan hidup aman damai.Pihak raja-raja di Tanah Melayu telah bersatu dengan rakyat untuk memastikan kesepakatan dalam hal ini dapat dicapai.

PEGAWAI 3               : Bagaimana dengan kepentingan british di Tanah Melayu ?

TUNKU                       : Pihak British jangan bimbang,kami cuma mahukan kemerdekaan Tanah Melayu.Kepentingan pihak British di Tanah Melayu iaitu semua perniagaan masih boleh dijalankan seperti biasa.


PEGAWAI 3                : Bagaimana pula dengan pangkalan tentera kami di Tanah Melayu ?

TUNKU                       : Pangkalan tersebut masih dikekalkan.Maka,pihak Britsh akan melindungi Tanah Melayu.Bagaimana pula dengan tuntutan yang dibuat oleh pihak Parti Perikatan,adakah pihak British bersetuju.

PEGAWAI 1                : Pihak kami berjanji akan memenuhi permintaan itu.

PEGAWAI 3                : Kita telah mencapai kata sepakat berhubung perkara ini.Perjanjian ini kita namakan perjanjian London dan Persekutuan Tanah Melayu akan mendapat kemerdekaan pada 31 0gos 1957.

Tuesday, June 26, 2012

Mendapatkan dan memperkembangkan Idea Cerpen.



Artikel ini dipertik daripada buku Othman Puteh, Penulisan cerpen: Visi dan Langgam (1999), halaman 28. Kerja “menulis” adalah satu kraft atau kemahiran yang boleh diperoleh dan dipelajari. Walaupun sebelum ini ada yang menegaskan bahawa kerja “menulis” tidak boleh diajar, tiada guru yang boleh mengajarkannya. Apakah benar demikian hakikatnya? Apakah tidak mungkin dibandingkan kerja “menulis” atau proses mencipta itu seperti juga kerja membina bangunan? Yang penting, setiap orang yang ingin menjadi penulis harus mempelajari beberapa teknik atau rahsia tentang profesion penulisan. Justeru itu, untuk menjadi penulis, sesiapa pun boleh mencuba tanpa memikirkan sangat sama ada mereka benar-benar memiliki bakat atau sebaliknya. Bakat sahaja belum memadai dan tidak pasti lagi menjamin kelahiran seorang pengarang.

Namun harus juga disedari hakikat bahawa tidak semua yang berminat, berbakat, dan berusaha memasuki bidang penulisan akan berjaya dan muncul sebagai pengarang. Oleh itu setiap calon pengarang, setiap individu yang bercita-cita untuk menjadi pengarang- dalam konteks ini cerpenis-harus mempelajari rahsia profesion sebagai seorang cerpenissebelum bergerak jauh melibatkan diri dalam bidang ini. Jadi terbukti semacam ada prasyarat untuk menjadi seorang penulis. Paling tidak, seorang calon cerpenis mempelajari rahsia menulis cerpen yang baik dan bermutu. Ia harus pula disertai dengan keseriusan berkerja dan keseimbangan menganyam fakta dan imaginasi melalui pengeksploitasian serta manupulasi bahasa, sekiranya perlu.Hakikat ini sudah wujud dan kini diamalkan di beberapa buah institusi pengajian tinggi dengan adanya penawaran kursus penulisan kreatif.

Cerpen : Bangun setelah rebah.

“Awak janji dengan saya. Awak akan setia dengan cinta kita dan tidak akan sesekali menyakiti dan meninggalkan saya.” Kucari keikhlasan dalam redup matanya yang akan kutatap terakhir kali sebelum pergi.

“Saya janji. Saya akan tunggu awak, sayang.” Jasadnya menghilang ditelan ribuan manusia di lapangan. Semoga dirimu selamat pulang.

***

“Saya rasa hubungan kita dah lama berakhir.” Kesal dan sayu, semuanya seakan bercampur baur dalam nadanya kini. Sungguh. Sewaktu tiba kelmarin, dia disambut dengan meriah oleh ahli keluarganya. Namun dia tercari-cari dirinya didalam kelompok itu. Tiada. Kini dia rasakan umpama berjumpa dengan seseorang yang asing didalam hidupnya.

“Tapi...saya tidak pernah menduakan awak. Cinta saya pada awak tidak serapuh itu, walaupun awak jauh meninggalkan saya. Adakah ini sahaja yang mampu awak luahkan setelah empat tahun tidak bersua?”

“Awak silap. Awak lupa pada janji kita.”

“Siapa yang lupa! Awak atau saya?”

“Awak dah pun tinggalkan saya dan putuskan kasih kita bila awak makan benda haram yang sedang mengalir dalam pembuluh darah awak sekarang. Awak faham atau tidak! Kita tidak berjanji sekadar setia pada cinta. Kita berjanji untuk tidak menyakiti antara satu sama lain dan awak dah pun menyakiti diri awak. Samalah juga seperti awak menyakiti saya.”

“Tapi saya tak pernah curang. Huk...huk.” Air mata kesalan tak tertahan di tubir mata. Tumpah jua dihadapan insan yang kusayang. Sungguh. Aku amat menyayanginya. Bukan sehari dua rasa itu bersarang dihati kecilku. Hampir tujuh tahun. Walau terpisah jauh selama empat tahun, namun aku masih aku. Aku masih setia menunggu dirinya. Kini dia pulang dengan omongan perpisahan. Mengapa? Sudah berteman barukah dia?

“Tapi awak abaikan diri awak dan semua orang yang sayangkan awak. Kal, tengok diri awak sekarang. Awak bukan lagi insan yang sama yang berjanji dengan saya dahulu. Awak dah lain. Awak tinggalkan kampung halaman. Awak abaikan ibubapa awak. Diri awak Kal.”

“Saya menyesal. Saya terperangkap. Saya....”

“Awak. Kembalikan anak yang soleh dan taat kepada ibubapanya. Kembalikan sahabat saya yang setia. Setianya awak menunggu saya yang awak kenali hampir tujuh tahun, setia lagi ibubapa dan ahli keluarga awak menunggu awak kembali kepada mereka. Cuba awak fikirkan perasaan mereka.”

“Saya alpa. Saya terlalu percayakan kawan-kawan sehingga tak sedar yang mereka mengkhianati saya. Sumpah. Saya tidak ambil benda haram tu atas kemahuan saya. Mereka masukkan makanan setan tu dalam air saya. Saya tak sedar masa tu. Mereka tipu saya. Lama-lama saya dah jadi ketagih. Saya tewas. Mujur saya dapat menamatkan pengajian saya tanpa masalah. Kalau tidak....”

“Awak kena berusaha. Saya akan tolong awak. Saya akan bantu awak, bukan sebagai pesakit saya, tetapi sahabat saya yang setia.”

“Sahabat? Sahabat awak kata. Empat tahun saya tunggu untuk dengar awak ucap kata sahabat tu ke!” Aku membentak. Aku tidak sanggup kehilangannya. Kalau pun dia sudah mempunyai teman baharu. Tidak perlu untuk dia menjadikan diriku kini sebagai alasan untuk berpisah.

“Kal, tolonglah jangan kusutkan keadaan. Soal kita dah tamat. Apa yang kita bincangkan sekarang ialah soal awak. Soal awak Kal. Soal awak yang dah terlajak jauh sehingga melukakan hati insan-insan yang menyayangi awak selama ini. Termasuk saya.”

“Soal kita dah tamat awak kata. Awak dah ada orang lainkan. Dasar perempuan.”

“Awak! Selama ini saya tidak pernah sesekali meragui awak. Saya setia pada janji kita. Awak jangan berburuk sangka. Kalau betul saya mahu berteman baharu, saya tidak akan pakai cincin ini lagi.”

Kupandang tangannya, cincin pemberianku dahulu masih tersarung di jari manisnya. Kulepas keluhan berat. Entah berfikir atau terbeban dengan persoalan, kutidak pasti. Sungguh aku buntu. Aku buntu memikirkan mengenai hubungan ini. Mampukah aku berubah dan kembali seperti dulu. Aku sendiri tertanya-tanya.

“Saya tak pasti sama ada saya boleh melakukannya. Awak bercakap memang senang. Bukan saya tak pernah cuba tinggalkan ‘benda’ tu, tapi saya tak mampu. Sejauh mana pun saya lari, akhirnya saya masih di situ. Menghambakan diri kepada ‘benda’ haram tu.”

“Mana pergi semangat awak. Awak kena sentiasa dekatkan diri kepada Allah. Ingat pada pengorbanan ibubapa awak yang sentiasa berharap bahawa awak akan pulih. Masa hadapan awak. Sampai bila awak mahu jadi seperti ini. Awak belajar tinggi-tinggi, kemudian bekerja siang malam tapi habiskan duit awak dengan membeli ‘benda’ haram tu. Sampai bila?”

***

“Ustaz dikunci dan dibiarkan seorang diri di dalam sebuah kamar yang gelap. Ustaz tidak dibenarkan sesekali keluar. Kamar itu hanya mempunyai sebuah tingkap kecil untuk memasukkan makanan. Pada mulanya ustaz kuat hadapi desakan dan ketagihan. Namun semuanya hanya bertahan beberapa hari. Sungguh makanan setan itu telah mempengaruhi jiwa dan raga. Ustaz mula meracau kerana ketagih. Pedih dan seksanya menyusuk sehingga ke tulang.”

“Ustaz, bagaimanakah ustaz menghilangkan rasa ketagihan itu dan apakah cara rawatan yang digunakan?”

“Ketika ustaz di rumah rawatan dahulu. Setiap kali ustaz mengamuk oleh kerana ketagihan, petugas di rumah rawatan akan memandikan ustaz dengan air yang sejuk untuk menghilangkan rasa ketagih. Sewaktu itu, keadaan ustaz tidak terurus. Selepas dimandikan dengan air sejuk akibat mengamuk, biasanya ustaz akan keletihan sehingga tertidur. Tetapi apabila bangun sahaja daripada tidur, ustaz akan merasa ketagihan itu datang kembali. Badan terasa sakit-sakit dan panas sejuk. Mujur waktu itu ada seorang sahabat. Dialah yang setiap hari datang dan berteleku di hadapan pintu kamar. Membacakan Kalam Allah dan menitipkan kata-kata semangat. Saban hari dia berkunjung ke kamar kelam tanpa jemu. Lama-kelamaan, ustaz mula sedar dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui. Alhamdullillah. Berkat doa kepada Allah, ustaz pulih.”

“Berapa lamakah ustaz mengambil masa untuk pulih dan tinggal di rumah rawatan?”

“Lama juga. Ustaz pulih sepenuhnya setelah tiga bulan berada di situ tetapi ustaz berbakti dan bertugas di rumah itu sehingga genap setahun. Ustaz bagaikan terpangil untuk berbakti di situ. Tempat dimana ustaz menemui diri sendiri yang hilang. Tambahan pula ketika itu, sahabat ustaz yang banyak memberikan dorongan turut sama menjadi sukarelawan di situ. Ketika itu, banyak program-program kesedaran yang kami jalankan dengan mensasarkan golongan awal remaja seperti kamu semua. Supaya kamu semua dan rakan-rakan diluar sana tidak leka dan tersesat dalam mencari jalan dan arah tuju hidup.”

“Ustaz, selepas keluar daripada rumah rawatan. Adakah orang sekeliling boleh menerima ustaz seperti sebelumnya?”

“Ermm...tidak juga. Ada yang masih belum yakin dan mengatakan bahawa orang yang pernah terjebak dengan ‘benda’ seperti itu tidak akan pernah berubah. Oleh kerana itulah, ramai dikalangan bekas penagih yang kembali menagih kerana dikeji dan dibuang masyarakat, walaupun setelah pulih daripada menagih. Oleh kerana kurang sokongan dan dorongan, golongan ini mudah terjebak semula. Pada mulanya, ustaz juga begitu. Keluarga ustaz dicemuh dan ustaz dipulaukan penduduk kampung. Tapi lama kelamaan, mereka boleh menerimanya. Mereka mula sedar bahawa, setiap manusia itu mampu berubah dan boleh menjalani hidup seperti biasa sama seperti orang lain.”

“Ustaz, tadi ustaz ada menyebut tentang sahabat uztaz. Di mana sahabat ustaz berada sekarang?”

“Dia dah lama meninggalkan kita. Selepas ustaz keluar daripada rumah rawatan, ustaz melanjutkan pelajaran ke Jordan dalam bidang syariah. Berbeza dengan pengkhususan ustaz sebelumnya iaitu sebagai jurutera. Allah itu Maha Adil dan mungkin sudah tertulis bahawa ini adalah takdirnya. Mungkin bukan jodoh kami, dia berkahwin dan meninggal dunia semasa melahirkan anaknya yang pertama. Ketika itu, ustaz masih di Jordan. Ustaz masih ingat kata-katanya semasa ustaz bertanya akan dirinya mengapa dia sanggup bersusah payah memulihkan ustaz.”

“Saya mahu mengembalikan awak kepada diri awak sendiri. Bukan kerna cinta kita atau sayang saya, tapi awak. Awak yang bergelar sahabat. Awak yang bersama-sama dengan saya ketika diwaktu susah dan senang.” Tulus ujarannya membuat aku tersedar dari terbabas di lencongan tajam.

“Jadi sebagai seorang manusia yang taat akan agamanya. Kita hendaklah kembali ke jalan yang benar dan bermunajat kepada-Nya, semoga akan dipermudahkan urusan kita. Apa yang penting, kita haruslah sentiasa mengingati bahawa ramai orang di luar sana yang sayangkan kita dan bergantung harap kepada kita. Oleh itu, kita seharusnya tidak membiarkan harapan yang diletakkan di bahu kita tersia-sia begitu sahaja. Tidak bermakna bahawa sekali kita terbabas maka selamanya kita akan tewas. Masih ada jalan untuk menyelesaikan setiap masalah yang ada. Kita perlulah berusaha untuk mengubah hidup dan nasib kita.

***

“Haikal, mari sini nak.”

“Ada apa ayah. Kenapa ayah panggil Kal.”

“Ayah sengaja panggil Kal, nak ajak Kal berbual. Kal jangan ganggu ibu. Ibu sedang memasak. Bahaya kalau Kal duduk dengan ibu di dapur.”

“Kenapa pulak ayah?”

“Ibukan tengah memasak. Makanan yang terhidang diatas meja masih panas. Kalau terkena atau tertumpah pada Kal. Kal boleh melecur tau. Lagi pula banyak perkakasan di dapur merupakan peralatan yang tajam. Kalau terkena Kal, bahaya. Faham?”

“Faham ayah, lain kali Kal tidak akan ganggu ibu lagi. Kal akan duduk diam-diam.”

“Macam itulah anak ayah. Kal bila besar nanti hendak jadi apa?”

“Kal mahu jadi jurutera. Mahu bina rumah yang besar untuk ayah dan ibu.”

“Eh, iya. Untunglah ayah kalau macam itu. Habis rumah kita sekarang mahu buat apa Kal?”

“Ermm...kita robohkan.”

“Eh! Kenapa mahu robohkan pula?”

“Yalah, kalau kita tak robohkan rumah kita sekarang. Macam mana Kal nak bina rumah baru untuk ayah dan ibu.”

“Pandainya anak ayah. Kal, ayah dengan ibu tidak perlukan rumah besar atau mewah. Kal satu-satunya anak ayah dan ibu. Bagi kami cukuplah melihat Kal membesar dan berjaya kelak. Kal mesti janji dengan ayah yang Kal akan belajar bersungguh dan menjadi seorang anak yang soleh.”

“Kal janji ayah. Kal janji yang Kal akan jaga ayah dan ibu. Kal akan belajar bersungguh-sungguh dan Kal akan jaga ayah dan ibu bila Kal dah besar nanti.”



Monday, June 25, 2012

Novel best !

Setiap orang mesti ada perkara atau benda yang dia sukakan? Ermm.. untuk entri kali ni, Aiza nak kongsikan novel-novel yang Aiza suka dan memberikan inspirasi dalam hidup Aiza.


Setakat hari ini, semua novel ni Aiza dah habis baca dan sedang menunggu buah tangan baharu novelis ini. Nama novelis yang Aiza maksudkan ialah Nurul Shahida. Kalau kawan-kawan di luar sana, masih tak berkesempatan membaca novel-novel karya beliau, cepat-cepat dapatkan tau. Rugi.



Cumanya, setakat hari ini, Aiza masih belum mempunyai kesempatan bertentang mata dengan novelis ini. ha..ha..
Aiza harap sangat, dapat jumpa novelis ini sendiri satu hari nanti dan dapat beritahu dia supaya hasilkan banyak lagi karya.