PLANET AIZA MIRA

PLANET AIZA MIRA

Saturday, January 12, 2013

Inovasi Makanan Tradisional - Satar

Ramai yang tidak tahu bahawa makanan tradisional Terengganu telah banyak mengalami inovasi penghasilannya. Antaranya ialah Satar. Satar yang asalnya dibalut di dalam daun pisang dan dibungkus segitiga dicucuk pada batang lidi atau buluh dan dibakar. (seperti gambar di bawah)



Ini ialah rupa satar moden yang banyak diedarkan di pasaran. Satar ini dibungkus di dalam kulit popia. Jika melawat ke Terengganu, kedua-dua jenis satar ini ada dijual. Jika ditanya pada saya yang mana menjadi pilihan. Sudah tentu yang asli di dalam daun pisang. Rasanya lebih sedap dan asli. Cuma di Kuala Lumpur, sangat susah untuk mendapatkan Satar tradisional ini. 


Apa tunggu lagi, berkunjunglah ke Terengganu. ;-)


Makan-makan di Putera Duyung, Dungun


Bila ada peluang cuti di kampung, aku biasanya lepak atau keluar makan-makan bersama rakan-rakan apabila berkesempatan. Di sini ada perkongsian tempat makan yang aku boleh cadangkan pada semua pembaca yang mencari tempat makan yang sedap.


Kedai Putera duyung ni terletak di tanjung atau Kuala Dungun berdekatan dengan Pasar Besar Dungun. Ada banyak gerai di kawasan ini yang menghadap kuala sungai Dungun dan Laut. Menarikkan? Makan dengan suasana yang romantik ditambah dengan angin laut adalah satu ketengan yang tidak dapat diungkapkan. Hu3...


Ni air yang paling special sekali di kedai Putera Duyung ni. Amacam? 


Ni antara lauk yang kami order malam ni, Tom Yam, burung puyuh, nasi goreng , sotong bakar dan lain-lain. Kalau nak tulis menu yang ada, sampai esok tak habis entri. He3.. tak payah cerita banyak, mari jalan Dungun, try dulu ye..







 Posing-posing, Cik Aiza Mira nak ambik gambar nak letak kat blog ni. Hu3.. Agak-agak bile boleh kita lepak-lepak lagi macam ni ye kawan-kawan. (O_O)


Sebuah Kenangan


Tahun lepas, aku kehilangan seorang insan yang aku sayang iaitu Arwah Datuk. Pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar buat keluarga kecil kami. Pada aku, kenangan bersamanya akan aku kenang sepanjang hayat. 

Arwah dimasukkan ke hospital selama sebulan. Sepanjang tempoh tu, adik (Alia) bergilir-gilir menjaganya bersama emak dan teh (ibu saudara). Sungguh aku bersyukur Alia ada dikampung kerana masih belajar di tingkatan 6. Aku yang jauh di Kuala Lumpur hanya mampu bertanya khabar dan menitip doa dari kejauhan. 

Masuk minggu ke 4 di hospital, arwah dibenarkan pulang selepas Dr memasukkan wayar bagi membolehkan arwah diberi susu kerana badan arwah tidak lagi mampu menerima makanan. Namun keesokkan harinya, arwah dikejarkan kembali ke hospital kerana terdapat darah yang keluar dari saluran susu yang dimasukkan Dr. 

Aku yang berada di Mid Valley kerana mahu menghabiskan baucer buku yang terakhir pada hari terakhir penggunaannya bergegas menaiki Komuter ke Sg Buloh sehelai sepinggan apabila menerima panggilan dari ibu saudara. Tepat jam 7 malam, kami berangkat pulang ke Dungun selepas ibu saudara menjemputku di Stesen Komuter Sg Buloh. 

Aku tiba di Hospital Dungun lebih kurang jam 2 pagi. Setiba di Hospital aku mengambil keputusan untuk membantu menjaga arwah bersama Alia di Hospital. Masuk hari kedua, keadaan arwah semakin membimbangkan. Lebih kurang jam 3 petang kami membawa arwah pulang ke rumah dengan bantuan ambulance Jabatan Pertahana Awam Dungun. Hal ini kerana ambulance Hospital Dungun mempunyai pesakit lain yang perlu dihantar ke Hospital besar Kuala Terengganu. 

Arwah menghembuskan nafas terakhir selepas lebih kurang sejam dibawa pulang ke rumah. Aku redha. Allah lebih menyayanginya. Banyak impian yang aku simpan untuk aku tunaikan bersama arwah. Semuanya tinggal impian. Satu kenangan yang aku simpan ialah kain pelikat yang aku belikan buat arwah pada tahun 2011 di Pasar Kedai Payang. Kain pelikat itulah yang digunakan untuk menutup jenazah arwah di rumah dan aku meminta izin untuk menyimpannya. 

Ya. Kami cucu-cucunya tidak berminat untuk bertanya atau berebut harta. Kami tidak berminat untuk berebut pusaka. Kami cuma berminat menyimpan kenangan yang lebih bernilai bersamanya. Disaat aku menulis entri ini, sungguh aku rindu pada arwah. Al-Fatihah. 



Gambar sekeluarga buat kali terakhir yang ada dalam simpanan. Gambar ni diambil masa Hari Raya Aidilfitri  (2011) lepas. 



Raya tanpa dia memang sunyi. Cumanya bagi aku, kenangan bersama dirinya sejak aku kecil sehinggalah aku dewasa sangatlah besar maknanya.

Keluar makan-makan ( THE C )

Ermm... Sibuk-sibuk dengan kuliah yang padat dan kerja yang menimbun membuatkan blog aku bersawang tanpa entri. Tidak... tidak... hu3..Setiap hari aku terfikir bilakah waktu yang sesuai untuk aku update semua entri yang aku dah "wujudkan" dalam bentuk folder di dalam laptop untuk dimuatnaik bersama coretan hati kecilku. Hu3..

Hari demi hari, tak jugak aku update sehinggalah ke saat ini. Hu3... Kelas aku PISMP C keluar makan-makan kat Secret Recipe Mid Valley. Tetamu yang paling terhormat sekali, jejaka 3 orang kelas aku ni. Bukan senang diaorang ni nak ikut kami-kami warga THE C ni keluar tau. 


Senyum-senyum, makanan belum sampai. Jadi kita posing-posing dulu yer.


Kami-kami ni bila dah dapat makanan dah tak ingat dunia dah. Hik3..Termasuklah aku yang tak sedar duk asyik menggigit jagung tu. Cumanya aku terberkenan pulak kat Tom Yam yang Kak Shira (Tudung Biru di dalam gambar) makan tu. Kalau berkunjung lagi, aku nak try Tom Yam tu pulak. (Sehingga ke saat entri ini ditulis selepas hampir setangah tahun peristiwa ini berlalu, hajat ini masih belum tercapai. ;-( sedih )




Walaupun jalan-jalan cari makan sesi kali ini masih tidak mengumpulkan semua ahli THE C, tetapi semuanya seakan terubat dengan kehadiran 3 jejaka pujaan kelas kami ni. Harap dapat keluar mcam ni lagi sebelum kita habis pengajian hujung tahun nanti. ;-)


ULASAN BUKU ( Menjadi Pengurus Diri Efektif - Dr Robiah Kulop )


Dr Robiah Kulop tampil sekali lagi dengan buku terbaru beliau bertajuk Menjadi Pengurus Diri Efektif yang mensasarkan kepada golongan pembaca daripada kalangan remaja. Buku setebal 174 halaman ini yang bernombor  ISBN 983-3603-14-9 mengandungi  pelbagai kemahiran pengurusan diri yang boleh di praktikkan oleh remaja dalam kehidupan seharian. Buku keenam, keluaran PTS Publications & Distributors SDN BHD ini telah berada di pasaran bermula April 2006 dan boleh di miliki dengan harga Rm 12.00 bagi semenanjung manakala Rm 15.00 bagi Sabah dan Sarawak.

Siapa yang tidak mengenali Dr. Robiah Kulop Hamzah seorang penulis dan penceramah yang berbakat besar.Beliau dilahirkan pada 20 0ktober 1951 di Kg Senin Layang-layang Kanan, Parit, Perak. Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam bidang pendidikan. Beliau memulakan tugas sebagai seorang guru setelah menamatkan latihan perguruan di  Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) Cheras, Kuala Lumpur. Lantaran minat yang mendalam dan semangat yang begitu kental beliau menyambung pengajian. Selepas itu, beliau menyambung tugas sebagai pensyarah di beberapa buah Maktab Perguruan. Sememangnya bakat menulis tidak beliau sia-siakan, beliau pernah terlibat sebagai Ahli Panel Penggubalan Sukatan Mata Pelajaran dan aktif menulis untuk kegunaan DBP dan BBT Kementerian Pendidikan.

Beliau sememangnya banyak menerima jemputan untuk mengadakan ceramah sama ada untuk program ilmiah atau berbentuk santai. Namun begitu, beliau masih juga aktif menulis untuk akhbar,majalah dan kertas kerja seminar. Bakat beliau sememangnya tidak perlu untuk dipertikaikan lagi. Walaupun dalam kesibukan beliau menguruskan keluarga, menghadiri jemputan ceramah dan pelbagai lagi tanggungjawabnya, beliau masih meneruskan perjuangan dalam bidang pendidikan. Hal ini dapat di buktikan apabila beliau masih lagi meneruskan tugas sebagai pensyarah di Jabatan Bahasa di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu Malaysia.

Buku ini memuatkan 15 bab yang berpaksikan kepada panduan asas membimbing golongan remaja supaya mahir mengurus diri semasa bersama keluarga,rakan-rakan di sekolah, di luar sekolah, dalam persatuan serta dalam pertemuan dan perjumpaan formal atau tidak formal. Bab satu membawa tajuk Pentingnya Kemahiran Pengurusan Diri. Bab ini lebih kepada pengenalan terhadap isi kandungan buku yang menjelaskan mengapa pengurusan diri penting. Bab dua memaparkan tajuk Asas Pembentukan Peribadi yang Ungul. Bab ini lebih menekankan kepada aspek tatasusila dan dan sopan-santun dalam perbualan.Bab tiga mendukung tajuk Sikap Bertimbang Rasa.Tajuk ini lebih tertumpu kepada sikap remaja terhadap orang lain di rumah. Malah turut di tekankan sikap mereka apabila menggunakan barangan yang perlu dikongsi bersama ahli keluarga yang lain.Bab empat pula memaparkan cara menyayangi keluarga. Bab ini menekankan aspek menghargai dan menyayangi ahli keluarga sendiri. Masa persekolahan meliputi sebahagian besar dunia remaja. oleh itu, dalam Bab 5 dibekalkan panduan menjadi pelajar yang unggul.

Jiran adalah rakan yang paling hampir dengan keluarga. Dalam Bab 6 disediakan panduan untuk menyayangi dan disayangi jiran. Kemahiran ini boleh di kuasai melalui pengalaman. Bab 7 pula bertajuk Kesantunan dan Adab berkenalan yang merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh remaja. Hal ini penting untuk mengurangkan perasaan malu apabila bergaul dengan orang yang baru kita kenali. Bab 8 menekankan Kesantunan di Meja Makan. Tajuk ini menghuraikan cara makan mengikut kaedah formal dan tidak formal mengiktu majlis. Selalunya, remaja mempunyai ramai kawan dan sering menghadiri jamuan seperti jamuan hari lahir. Oleh itu, panduan menjadi tuan rumah dan tetamu di majlis jamuan dibekalkan dalam Bab 9. Malah menganjurkan majlis juga merupakan salah satu latihan untuk seseorang itu bertanggungjawab dan berdisiplin dalam melaksanakan tugas. Dalam Bab 10 dinyatakan juga amalan baik semasa bercakap melalui telefon, Walaupun tidak bersemuka, namun adab sopan itu sendiri penting untuk menggambarkan peribadi seseorang.

Diikuti dengan Kesopanan Menulis Surat dalam Bab 11. Bab 12 bertajuk Gaya di Tempat Awam,ini penting untuk di manfaatkan kerana penampilan diri seseorang itu melambangkan jati diri dan personality individu itu sendiri. Bab 13 memperlihatkan perlakuan bersopan semasa di pusat membeli-belah, di dalam kenderaan awam dan semasa menaiki teksi. Bab 14 dan 15 memberikan petunjuk bagaimana menyayangi diri sendiri dan menjadi anak yang berbakti kepada ibu bapa. Ini penting kerana orang yang tidak menyayangi dirinya dan tidak tahu berbakti kepada ibu bapa adalah orang yang sukar berjaya dalam hidup. Oleh itu, kita perlu berlatih menyayangi diri sendiri dan berbakti kepada ibu bapa supaya kita menjadi remaja uang unggul. Bab 16, bab terakhir, memaparkan kata-kata pedoman yang dapat dijadikan asa pembentukan diri yang unggul. Bab ini juga memaparkan nilai-nilai positif yang harus diamalkan oleh setiap insan dalam kehidupan.

Setelah membaca dan memahami mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam buku ini,dapatlah di konklusikan bahawa pengurusan diri dalam menangani hal-hal seharian dapat membentuk jati diri kita di masa hadapan.Namun terdapat sedikit kekurangan dalam buku ini iaitu terdapat pengulangan isi yang sama di dalam bab yang berlainan. Namun ada juga struktur ayat yang berlainan tetapi membawa maksud yang sama di bawah satu tajuk seperti pada muka surat 146 dan 147 dibawah tajuk ganjaran berbakti kepada ibu bapa. Isi yang ketiga iaitu “Orang yang memuliakan ibu bapa mendapat nikmat syurga” membawa maksud yang sama dengan isi yang ketujuh iaitu “Orang yang memuliakan ibu bapa dijamin masuk syurga dan mendapat keredhaan Tuhan”. Ayat ini membawa maksud yang sama iaitu ganjaran bagi orang yang memuliakan ibu bapa ialah di jamin ganjaran yang baik di akhirat kelak.

Buku ini juga mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Lukisan ilustrasi di dalam buku ini sememangnya menarik dan merupakan salah satu tarikan pembaca untuk membaca buku ini. Malah cara penyampaian isi juga lebih bersahaja dan akan memudahkan pembaca untuk memahami isi tersurat dan tersirat yang ingin di sampaikan oleh penulis. Tuntasnya, sekalung tahniah kepada penulis di atas kelahiran buku ini.

PENDEKATAN PENGAJARAN BAHASA


PENDEKATAN PENGAJARAN BAHASA
    Di dalam konsep pendidikan, konsep pendekatan bermakna cara mendekati sesuatu, misalnya objektif pelajaran yang ditentukan untuk pengajaran sesuatu mata pelajaran. Dengan perkataan lain, pendekatan merujuk cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajarkan berdasarkan objektifnya.
    Menurut Edward. M. Anthony (1963), dalam buku pedagogi 2 oleh Mok Soon Sang (p.1 dan 2) pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. Dalam pengajaran bahasa terdapat empat pendekatan pengajaran iaitu pendekatan deduktif, pendekatan induktif, pendekatan elektik dan pendekatan komunikatif.
     Menurut pendapat Gestalt kita mempelajari sesuatu situasi itu secara keseluruhan dan kemudian memperinci elemen-elemen situasi satu pandangan atau sebagai teori pembelajaran, maka kita boleh menjadikannya sebagai satu pendekatan dalam sesuatu pengajaran. Ini membawa maksud sesuatu pengajaran itu harus dimulakan dengan mengamati keseluruhannya terlebih dahulu dan kemudian dikaji bahagian-bahagiannya.

Pendekatan Deduktif
     Konsep deduktif boleh ditakrifkan sebagai sesuatu pendekatan mengajar yang bermula daripada sesuatu atau beberapa rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan diikuti dengan aplkasinya ke atas contoh-contoh yang khusus. Kadangkala pendekatan deduktif ini juga digunakan untuk mendapatkan kesimpulan atau generalisasi yang baru daripada rumus, prinsip, hukum, teorem yang telah diketahui.
Pendekatan pengajaran ini mengutamakan penguasaan undang-undang ataupun peraturan bahasa daripada penggunaan bahasa. Guru-guru yang menggunakan pendekatan ini biasanya memulakan pengajaran bahasa mereka dengan huraian undang-undang bahasa yang hendak diajar sebelum memberi contoh-contoh penggunaannya. Contohnya apabila seseorang guru mengajar ayat tunggal, guru akan memberi takrif ayat tersebut sebelum menunjukkkan contoh-contoh penggunaanya.
Jenis pendekatan deduktif
       Terdapat tiga jenis pendekatan deduktif yang biasanya digunakan sebagai strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah iaitu penyelesaian masalah. Pendekatan deduktif banyak digunakan untuk menyelesaikan masalah. Misalnya, setelah murid mempelajari imbuhan ‘ber’, mereka disuruh membuat beberapa ayat dengan menggunakan imbuhan ‘ber’. Selain itu, pendekatan deduktif ini boleh digunakan untuk membentuk suatu generalisasi baru. Misalnya, setelah murid mempelajari rumus luas segiempat tepat, mereka diminta menggunakan rumus itu untuk mendapatkan rumus luas segitiga bersudut tegak. Malah, pendekatan deduktif juga boleh digunakan untuk membuktikan sesuatu hipotesis melalui prinsip atau hukum yang tekah dipelajari. Misalnya, selepas murid telah mempelajari teorem sudut-sudut bersebelahan atas garis lurus, mereka diminta menggunakan teorem ini untuk membuktikan hasil tambah tiga sudut dalam sebuah segitiga ialah 180°.

Prinsip-prinsip
     Pada peringkat permulaan, masalah atau hipotesis harus didedahkan terlebih dahulu. Murid-murid harus dibimbing mengingat kembali generalisasi, prinsip atau teori yang membolehkan mereka menyelesaikan masalah atau hipotesis yang telah didedahkan. Generalisasi, prinsip atau teori yang digunakan untuk menyelesaikan masalah atau membukti hipotesis haruslah diketahui serta telah difahamkan. Penggunaan deduktif haruslah dijalankan mengikut prosedur yang betul, iaitu pendedahan masalah hipotesis kemudian pemilihan generalisasi prinsip atau teori yang telah diketahui dan akhirnya menyelasaikan masalah atau membuktikan hipotesis. Selain itu, proses menyelesaikan masalah atau membuktikan hipotesis tidak terhad kepada menggunakan satu generalisasi, prinsip atau teori yang telah dipelajari. Guru juga tidak perlu menjalankan cara menyelesaikan masalah atau menghuraikan cara membuktikan hipotesis, tetapi membimbing murid melalui aktiviti soal jawab sehingga mereka menjalankan aktiviti penyelesaian masalah sendiri.

Pendekatan Induktif
          Pendekatan induktif melibatkan aktiviti mengumpul dan mentafsir maklumat-maklumat, kemudian membuat generalisasi atau kesimpulannya. Pendekatan ini mengutamakan contoh penggunaan bahasa daripada undang-undang atau peraturan bahasa. Pengajaran dimulakan dengan memberi contoh penggunaan unsur-unsur bahasa yang diajar sebelum guru menghuraikan undang-undang bagi unsur tersebut. Contohnya dalam pengajaran tentang ayat tunggal, guru akan memulakan pengajarannya dengan menunjukkan contoh-contoh ayat tunggal. Kemudian berpandukan contoh-contoh yang dibuat guru akan memandu murid-murid supaya sampai kepada takrif ayat tunggal. Semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru tidak digalakkan memberi sebarang penerangan atau menghuraikan kesimpulan itu. Guru hanya membimbing murid, melalui aktiviti soal jawab, mentafsir dan membuat kesimpulan daripada contoh-contoh khusus yang dikemukakan.

Jenis pendekatan induktif
       pendekatan induktif mempunyai banyak kaedah mengajar yang digunakan untuk mengajar berbagai-bagaimata pelajaran. Demikian juga pendekatan induktif ini ada berbagai-bagai jenis. Di antaranya ialah membentuk satu generalisasi daripada contoh-contoh tertentu. Misalnya, mencari ciri segitiga yang sama daripada pelbagai jenis segitiga. Selain itu, membentuk satu prinsip daripada ujikaji tertentu. Misalnya mendapat prinsip graviti daripada ujikaji benda-benda dijatuhkan dari atas ke bawah. Malah, membentuk satu hukum daripada pernyataan-pernyataan tertentu. Misalnya, mendapat hukum tatabahasa daripada analisis terhadap struktur ayat-ayat bahasa. Selain itu, ada juga yang membentuk satu teorem melalui aktiviti-aktiviti induktif. Misalnya, mengukur dan mencari hasil tambah sudut-sudut dalam pelbagai jenis segitiga untuk mendapat teorem sudut segitiga. Mendapat satu teori daripada satu urutan pemikiran. Misalnya, memerhati tingkah laku manusia untuk mendapatkan satu teori pembelajaran.

Prinsip-prinsip pengunaan strategi pengajaran induktif.
    Untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti induktif dengan berkesan, guru perlulah memahami dan mematuhi prinsip-prinsip penggunaan strategi pengajaran induktif yang berikut iaitu sebelum memulakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara induktif, guru harus menyediakan contoh-contoh yang sesuai, iaitu yang bolah membantu murid membuat rumusan. Disamping itu, soalan-soalan harus disediakan untuk membimbing murid mendapat kesimpulan yang berkenaan. Guru juga tidak harus memberi penerangan atau menghuraikan isi pelajarn yang berkiatan dengan kesimpulan. Murid-murid dibimbing melalui aktiviti soal jawab untuk mendapatkan kesimpulan diri sendiri. Malah, jenis dan contoh khusus yang diberikan haruslah dipelbagaikan, tetapi mengandungi ciri yang sama serta mudah untuk membolehkan murid mengenal pastinya. Contoh-contoh yang dipilih juga haruslah sesuai dan mencukupi. Selepas contoh-contoh khusus oleh guru, murid-murid juga digalakkan memberi contoh-contoh yang serupa. Proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kaedah induktif harus mengikut urutan yang tepat, iaitu daripada contoh-contoh spesifik kepada kesimpulan umum. 

TEORI HURAIAN BAHASA


TEORI HURAIAN BAHASA
Bahasa adalah alat untuk berkomunikasi. Dianggap sebagai tingkah laku manusia melalui ucapan. Keupayaan berbahasa adalahlah keupayaan semula jadi. Persoalan tentang  apakah bahasa, bagaimana ia lahir, apakah sifat-sifat bahasa dan bagaimana kanak-kanak  menguasai bahasa selalu menjadi perbincangan ahli-ahli bahasa. Ketika itu muncul bidang linguistik dan psikolinguistik lingusitik yang bermaksud ilmu yang mengkaji bahasa secara saintifik iaitu kajian yang dijalankan dengan teratur dan syarat-syarat tertentu. Segala dapatan dapat dibuktikan dari segi  sains atau empirikal melalui pemerhatian yang sah dalam lingkungan teori-teori bahasa. Psikolinguistik pula merupakan kajian bahasa yang digabungkan dengan kajian ilmu-ilmu lain iaitu psikologi. Ia mengkaji hubungan bahasa dengan jiwa manusia, jenis-jenis bahasa,bentuk-bentuk bahasa dan perkataan yang digunakan oleh penutur serta hubungannya dengan fikiran dan jiwa penutur.
Aliran kajian tatabahasa yang terkenal dibahagikan kepada empat  iaitu aliran tatabahasa tradisional, struktural dan transformasi generatif serta fungsional. Terdapat  beberapa  perbezaan  pendapat  dalam  setiap  aliran bergantung kepada  pengaruh yang diterima oleh aliran tersebut.

Teori Tradisional (Panini)
Bermula sejak zaman Yunani (abad ke-5 S.M). Pada masa itu tatabahasa merupakan cabang falsafah yang dapat membantu ahli falsafah Yunani mengkaji tabii alam. Huraian tatabahasa dibuat berdasarkan logika Plato  (429-327  S.M)  membahagikan  golongan  kata  kepada  dua bahagian iaitu kata nama dan perbuatan. Kata nama  yang  berfungsi  sebagai  subjek  dalam  ayat  dan  kata kerja menggambarkan tindakan (predikat ). Pembahagian ayat pula  berdasarkan fungsi bahagian-bahagian ayat tersebut. Ayat  definisikan  sebagai  ucapan  yang  mengandungi  fikiran  yang lengkap. Ayat dibahagikan kepada empat jenis iaitu ayat penyata, tanya, seru dan perintah. Bahagian-bahagian ayat disebut sebagai subjek, predikat, objek dan keterangan. Istilah seperti aktif, pasif, transitif dan intransitif wujud daripada pandangan ahli falsafah untuk mencari kenyataan dan hubungan logika dalam ayat. Tatabahasa  merupakan  satu  cara  atau  proses  pengkajian  bahasa tentang hukum-hukum dan peraturan-peraturan sesuatu bahasa yang dibuat berdasarkan makna.

Ciri-ciri tatabahasa tradisional.
Tatabahasa tradisional bersifat nosional dan tidak mengikut konsep formal atau struktur. Ketiadaan pola morfologi atau sintaksis tetap yang boleh digunakan sebagai dasar untuk menerbitkan pelbagai struktur. Ketiadaan pemeringkatan atau pemilihan bahan sama ada gramatikal atau leksikal, sama ada berasaskan yang mudah atau yang kompleks, sama ada kekerapan dan kenyataan butir-butir itu boleh diajar atau tidak. Ayat-ayat yang dibina dengan menggunakan konsep binaan. Bahasa adalah satu organisma. Ia hidup dan berubah.

Kelemahan Teori Tradisional
Teori ini terlalu mengutamakan tindakan menghafaz peraturan-peraturan dalam tatabahasa dan penjenisan kata guru mungkin terpengaruh dan terlalu menekankan aspek tatabahasa dalam pengajaran akan melahirkan pelajar yang cekap menganalisis ayat tetapi kurang mampu membina ayat-ayat yang sempurna dan gramatis analisis dilakukan secara nosional dengan anggapan bahawa kategori-kategori bahasa bersifat universal.

Teori  Struktural (Bloomfield)
Dikenali juga dengan aliran ‘taxonomic’ atau ‘bloomfeildian’. Muncul akibat bertentangan dengan aliran tradisional. Tentangan utama ialah  dasar nosional yang digunakan oleh aliran tradisional  untuk  membentuk  kategori-kategori  tatabahasa  dan anggapan bahawa semua bahasa mempunyai kategori universal. Aliran struktural mengkaji bahasa sebagai lambang-lambang pertuturan. Data-data adalah daripada bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan oleh penutur jati daripada  bahasa yang hendak dikaji. Analisis  struktural  bersifat  ‘sturcture  centered’. Setiap  bunyi perkataan  atau  bahagian  berdiri  sendiri  dan  tidak  mempunyai kepentingan linguistic. Setiap  unsur  tersebut  menjadi  penting  apabila  unsur-unsur  itu bergabung  dengan  unsur-unsur  lain  dalam  sesuatu   pola  sistem linguistik. Analisis tatabahasa bermula daripada bunyi dan diikuti oleh morfem, frasa,klausa dan ayat serta unsur-unsur supra segmental. Ayat akan dipecahkan mengikut konstituen-konstituennya yang  paling  kecil  ialah  perkataan diikuti  frasa,  klausa, subjek dan predikat.

Teori Transformasi-Generatif (Chomsky).
Teori ini bermula pada tahun 1957. Teori ini menghuraikan ayat-ayat dengan menggunakan sistem rumus-rumus. Terdapat dua  peringkat struktur ayat iaitu struktur dalaman dan struktur permukaan. Rumus struktur frasa menerbitkan ayat pada  struktur dalaman dan rumus transformasi berfungsi menukarkan pola atau struktur ayat-ayat tersebut sehingga membawa kepada peringkat struktur permukaan. Komponen fonologi menentukan representasi fonetik untuk sesuatu ucapan dan komponen semantik merujuk representasi semantik. Oleh itu  bunyi  dan  makna  berhubung  melalui  peraturan  sintaksis  yang berkait dengan struktur dalaman dan bertindak sebagai input kepada peraturan fonologi si penutur dalam komunikasi dan interaksi sosial. Rumus  struktur  frasa  berfungsi  melahirkan  rajah  pohon  yang menunjukkan hubungan gramatis antara kata yang terdapat dalam sesuatu dasar. Struktur dalaman yang diwujudkan oleh rumus struktur frasa akan menjadi input kepada komponen rumus-rumus transformasi. Rumus-rumus transformasi itu bekuasa untuk menggugur,menambah dan mengubah atau menyusun  semula susunan unsur kata itu. Penukaran struktur itu disebut sebagai transformasi dan ayat baru yang diterbitkan itu disebut sebagai ayat terbitan.

Teori Fungsionalis (Halliday dan Wilkins)
Teori ini mengkaji bahasa sebagai alat komunikasi dan perubahan bentuk bahasa yang berlaku ketika seseorang itu berkomunikasi. Bahasa berkeupayaan menyampaikan maklumat tentang penuturnya. Eleman dalam struktur bahasa ialah semantik bukan hubungan sintaksis dari segi  struktur  bahasa. Halliday  menghuraikan  unsur  dalaman berdasarkan fungsi struktur  tersebut sebagai alat berkomunikasi. Sistem  tatabahasa  dan  fungsi  bahasa  ialah  dua  perkara  yang diutamakan dalam pengajaran pembelajaran. Guru perlu menggunakan bentuk-bentuk ujaran yang tepat untuk menjadi contoh kepada pelajar. Penggunaan variasi bahasa yang pelbagai dapat mempertingkatkan tahap kemahiran berbahasa pelajar. Variasi wujud hasil daripada perubahan sesuatu situasi sosial pengajaran  dan  pembelajaran  bahasa  berdasarkan fungsi-fungsi tertentu


TEORI PEMEROLEHAN BAHASA.
Seseorang  bayi  yang  sempurna  dilahirkan  bersama-sama  alat-alat artikulasi dan anggota fizikal lain untuk memperoleh bahasa. Pemerolehan  berlaku sedikit demi sedikit mengikut perkembangan otak. Penguasaan bahasa pertama kanak-kanak dengan cara memperoleh (tidak formal) bukan secara pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa jangka masa antara 1 hingga 5 tahun adalah  jangka  masa  penguasaan  bahasa  yang  kritikal  dan  mudah menerima pengaruh bahasa yang didedahkan kepada mereka. Teori pemerolehan bahasa menghuraikan tentang bagaimana sesuatu bahasa itu dapat dikuasai oleh kanak-kanak melalui proses pemerolehan bahasa pertama.

Teori Behaviurisme (Skinner)
  Bahasa  adalah  proses  perilaku  dan  mementingkan  satu  rangkaian turutan sebab dan kesan iaitu hasil operasi rangsangan dan gerak balas. Aliran ini menolak sebarang pendapat yang menghubungkan penghasilan bahasa dengan operasi mental. Bahasa adalah perilaku dan individu banyak  belajar melalui pengalaman daripada  otaknya. Pemerolehan kemahiran bahasa memerlukan latihan dan latih tubi perlu dijalankan secara kerap kerana kemahiran bahasa dipandang sebagai kebiasaan. Bahasa dikuasai melalui proses pengulangan. Kanak-kanak belajar secara tidak formal melalui proses peniruan. Mereka menguasai bunyi-bunyi dan menyebut perkataan-perkataan yang telah mereka dengar berulang kali sehingga mereka dapat menyebutnya menjadi ayat-ayat yang lengkap. Bloomfield menyokong aliran ini dan berpendapat bahawa  bahasa ialah satu tingkah laku manusia yang sama dengan tingkah laku manusia yang lain. Bahasa dilahirkan akibat gerak balas daripada  rangsangan. Mengikut teori ini, tingkah laku yang terjadi ketika ucapan itu diujarkan perlu dikaji. Aliran ini berpendapat bahawa pengukuhan dalam pengajaran  dan pembelajaran sangat penting  iaitu dengan memberi ganjaran kepada kanak-kanak apabila mereka memberikan gerak balas yang betul. Ganjaran  akan  dapat  membentuk  perlakuan  berbahasa  yang dikehendaki dan berterusan.