Saturday, January 12, 2013

PENDEKATAN PENGAJARAN BAHASA


PENDEKATAN PENGAJARAN BAHASA
    Di dalam konsep pendidikan, konsep pendekatan bermakna cara mendekati sesuatu, misalnya objektif pelajaran yang ditentukan untuk pengajaran sesuatu mata pelajaran. Dengan perkataan lain, pendekatan merujuk cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajarkan berdasarkan objektifnya.
    Menurut Edward. M. Anthony (1963), dalam buku pedagogi 2 oleh Mok Soon Sang (p.1 dan 2) pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. Dalam pengajaran bahasa terdapat empat pendekatan pengajaran iaitu pendekatan deduktif, pendekatan induktif, pendekatan elektik dan pendekatan komunikatif.
     Menurut pendapat Gestalt kita mempelajari sesuatu situasi itu secara keseluruhan dan kemudian memperinci elemen-elemen situasi satu pandangan atau sebagai teori pembelajaran, maka kita boleh menjadikannya sebagai satu pendekatan dalam sesuatu pengajaran. Ini membawa maksud sesuatu pengajaran itu harus dimulakan dengan mengamati keseluruhannya terlebih dahulu dan kemudian dikaji bahagian-bahagiannya.

Pendekatan Deduktif
     Konsep deduktif boleh ditakrifkan sebagai sesuatu pendekatan mengajar yang bermula daripada sesuatu atau beberapa rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan diikuti dengan aplkasinya ke atas contoh-contoh yang khusus. Kadangkala pendekatan deduktif ini juga digunakan untuk mendapatkan kesimpulan atau generalisasi yang baru daripada rumus, prinsip, hukum, teorem yang telah diketahui.
Pendekatan pengajaran ini mengutamakan penguasaan undang-undang ataupun peraturan bahasa daripada penggunaan bahasa. Guru-guru yang menggunakan pendekatan ini biasanya memulakan pengajaran bahasa mereka dengan huraian undang-undang bahasa yang hendak diajar sebelum memberi contoh-contoh penggunaannya. Contohnya apabila seseorang guru mengajar ayat tunggal, guru akan memberi takrif ayat tersebut sebelum menunjukkkan contoh-contoh penggunaanya.
Jenis pendekatan deduktif
       Terdapat tiga jenis pendekatan deduktif yang biasanya digunakan sebagai strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah iaitu penyelesaian masalah. Pendekatan deduktif banyak digunakan untuk menyelesaikan masalah. Misalnya, setelah murid mempelajari imbuhan ‘ber’, mereka disuruh membuat beberapa ayat dengan menggunakan imbuhan ‘ber’. Selain itu, pendekatan deduktif ini boleh digunakan untuk membentuk suatu generalisasi baru. Misalnya, setelah murid mempelajari rumus luas segiempat tepat, mereka diminta menggunakan rumus itu untuk mendapatkan rumus luas segitiga bersudut tegak. Malah, pendekatan deduktif juga boleh digunakan untuk membuktikan sesuatu hipotesis melalui prinsip atau hukum yang tekah dipelajari. Misalnya, selepas murid telah mempelajari teorem sudut-sudut bersebelahan atas garis lurus, mereka diminta menggunakan teorem ini untuk membuktikan hasil tambah tiga sudut dalam sebuah segitiga ialah 180°.

Prinsip-prinsip
     Pada peringkat permulaan, masalah atau hipotesis harus didedahkan terlebih dahulu. Murid-murid harus dibimbing mengingat kembali generalisasi, prinsip atau teori yang membolehkan mereka menyelesaikan masalah atau hipotesis yang telah didedahkan. Generalisasi, prinsip atau teori yang digunakan untuk menyelesaikan masalah atau membukti hipotesis haruslah diketahui serta telah difahamkan. Penggunaan deduktif haruslah dijalankan mengikut prosedur yang betul, iaitu pendedahan masalah hipotesis kemudian pemilihan generalisasi prinsip atau teori yang telah diketahui dan akhirnya menyelasaikan masalah atau membuktikan hipotesis. Selain itu, proses menyelesaikan masalah atau membuktikan hipotesis tidak terhad kepada menggunakan satu generalisasi, prinsip atau teori yang telah dipelajari. Guru juga tidak perlu menjalankan cara menyelesaikan masalah atau menghuraikan cara membuktikan hipotesis, tetapi membimbing murid melalui aktiviti soal jawab sehingga mereka menjalankan aktiviti penyelesaian masalah sendiri.

Pendekatan Induktif
          Pendekatan induktif melibatkan aktiviti mengumpul dan mentafsir maklumat-maklumat, kemudian membuat generalisasi atau kesimpulannya. Pendekatan ini mengutamakan contoh penggunaan bahasa daripada undang-undang atau peraturan bahasa. Pengajaran dimulakan dengan memberi contoh penggunaan unsur-unsur bahasa yang diajar sebelum guru menghuraikan undang-undang bagi unsur tersebut. Contohnya dalam pengajaran tentang ayat tunggal, guru akan memulakan pengajarannya dengan menunjukkan contoh-contoh ayat tunggal. Kemudian berpandukan contoh-contoh yang dibuat guru akan memandu murid-murid supaya sampai kepada takrif ayat tunggal. Semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru tidak digalakkan memberi sebarang penerangan atau menghuraikan kesimpulan itu. Guru hanya membimbing murid, melalui aktiviti soal jawab, mentafsir dan membuat kesimpulan daripada contoh-contoh khusus yang dikemukakan.

Jenis pendekatan induktif
       pendekatan induktif mempunyai banyak kaedah mengajar yang digunakan untuk mengajar berbagai-bagaimata pelajaran. Demikian juga pendekatan induktif ini ada berbagai-bagai jenis. Di antaranya ialah membentuk satu generalisasi daripada contoh-contoh tertentu. Misalnya, mencari ciri segitiga yang sama daripada pelbagai jenis segitiga. Selain itu, membentuk satu prinsip daripada ujikaji tertentu. Misalnya mendapat prinsip graviti daripada ujikaji benda-benda dijatuhkan dari atas ke bawah. Malah, membentuk satu hukum daripada pernyataan-pernyataan tertentu. Misalnya, mendapat hukum tatabahasa daripada analisis terhadap struktur ayat-ayat bahasa. Selain itu, ada juga yang membentuk satu teorem melalui aktiviti-aktiviti induktif. Misalnya, mengukur dan mencari hasil tambah sudut-sudut dalam pelbagai jenis segitiga untuk mendapat teorem sudut segitiga. Mendapat satu teori daripada satu urutan pemikiran. Misalnya, memerhati tingkah laku manusia untuk mendapatkan satu teori pembelajaran.

Prinsip-prinsip pengunaan strategi pengajaran induktif.
    Untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti induktif dengan berkesan, guru perlulah memahami dan mematuhi prinsip-prinsip penggunaan strategi pengajaran induktif yang berikut iaitu sebelum memulakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara induktif, guru harus menyediakan contoh-contoh yang sesuai, iaitu yang bolah membantu murid membuat rumusan. Disamping itu, soalan-soalan harus disediakan untuk membimbing murid mendapat kesimpulan yang berkenaan. Guru juga tidak harus memberi penerangan atau menghuraikan isi pelajarn yang berkiatan dengan kesimpulan. Murid-murid dibimbing melalui aktiviti soal jawab untuk mendapatkan kesimpulan diri sendiri. Malah, jenis dan contoh khusus yang diberikan haruslah dipelbagaikan, tetapi mengandungi ciri yang sama serta mudah untuk membolehkan murid mengenal pastinya. Contoh-contoh yang dipilih juga haruslah sesuai dan mencukupi. Selepas contoh-contoh khusus oleh guru, murid-murid juga digalakkan memberi contoh-contoh yang serupa. Proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kaedah induktif harus mengikut urutan yang tepat, iaitu daripada contoh-contoh spesifik kepada kesimpulan umum. 

0 comments:

Post a Comment