“Awak janji dengan saya. Awak akan setia dengan cinta kita dan tidak akan sesekali menyakiti dan meninggalkan saya.” Kucari keikhlasan dalam redup matanya yang akan kutatap terakhir kali sebelum pergi.
“Saya janji. Saya akan tunggu awak, sayang.” Jasadnya menghilang ditelan ribuan manusia di lapangan. Semoga dirimu selamat pulang.
***
“Saya rasa hubungan kita dah lama berakhir.” Kesal dan sayu, semuanya seakan bercampur baur dalam nadanya kini. Sungguh. Sewaktu tiba kelmarin, dia disambut dengan meriah oleh ahli keluarganya. Namun dia tercari-cari dirinya didalam kelompok itu. Tiada. Kini dia rasakan umpama berjumpa dengan seseorang yang asing didalam hidupnya.
“Tapi...saya tidak pernah menduakan awak. Cinta saya pada awak tidak serapuh itu, walaupun awak jauh meninggalkan saya. Adakah ini sahaja yang mampu awak luahkan setelah empat tahun tidak bersua?”
“Awak silap. Awak lupa pada janji kita.”
“Siapa yang lupa! Awak atau saya?”
“Awak dah pun tinggalkan saya dan putuskan kasih kita bila awak makan benda haram yang sedang mengalir dalam pembuluh darah awak sekarang. Awak faham atau tidak! Kita tidak berjanji sekadar setia pada cinta. Kita berjanji untuk tidak menyakiti antara satu sama lain dan awak dah pun menyakiti diri awak. Samalah juga seperti awak menyakiti saya.”
“Tapi saya tak pernah curang. Huk...huk.” Air mata kesalan tak tertahan di tubir mata. Tumpah jua dihadapan insan yang kusayang. Sungguh. Aku amat menyayanginya. Bukan sehari dua rasa itu bersarang dihati kecilku. Hampir tujuh tahun. Walau terpisah jauh selama empat tahun, namun aku masih aku. Aku masih setia menunggu dirinya. Kini dia pulang dengan omongan perpisahan. Mengapa? Sudah berteman barukah dia?
“Tapi awak abaikan diri awak dan semua orang yang sayangkan awak. Kal, tengok diri awak sekarang. Awak bukan lagi insan yang sama yang berjanji dengan saya dahulu. Awak dah lain. Awak tinggalkan kampung halaman. Awak abaikan ibubapa awak. Diri awak Kal.”
“Saya menyesal. Saya terperangkap. Saya....”
“Awak. Kembalikan anak yang soleh dan taat kepada ibubapanya. Kembalikan sahabat saya yang setia. Setianya awak menunggu saya yang awak kenali hampir tujuh tahun, setia lagi ibubapa dan ahli keluarga awak menunggu awak kembali kepada mereka. Cuba awak fikirkan perasaan mereka.”
“Saya alpa. Saya terlalu percayakan kawan-kawan sehingga tak sedar yang mereka mengkhianati saya. Sumpah. Saya tidak ambil benda haram tu atas kemahuan saya. Mereka masukkan makanan setan tu dalam air saya. Saya tak sedar masa tu. Mereka tipu saya. Lama-lama saya dah jadi ketagih. Saya tewas. Mujur saya dapat menamatkan pengajian saya tanpa masalah. Kalau tidak....”
“Awak kena berusaha. Saya akan tolong awak. Saya akan bantu awak, bukan sebagai pesakit saya, tetapi sahabat saya yang setia.”
“Sahabat? Sahabat awak kata. Empat tahun saya tunggu untuk dengar awak ucap kata sahabat tu ke!” Aku membentak. Aku tidak sanggup kehilangannya. Kalau pun dia sudah mempunyai teman baharu. Tidak perlu untuk dia menjadikan diriku kini sebagai alasan untuk berpisah.
“Kal, tolonglah jangan kusutkan keadaan. Soal kita dah tamat. Apa yang kita bincangkan sekarang ialah soal awak. Soal awak Kal. Soal awak yang dah terlajak jauh sehingga melukakan hati insan-insan yang menyayangi awak selama ini. Termasuk saya.”
“Soal kita dah tamat awak kata. Awak dah ada orang lainkan. Dasar perempuan.”
“Awak! Selama ini saya tidak pernah sesekali meragui awak. Saya setia pada janji kita. Awak jangan berburuk sangka. Kalau betul saya mahu berteman baharu, saya tidak akan pakai cincin ini lagi.”
Kupandang tangannya, cincin pemberianku dahulu masih tersarung di jari manisnya. Kulepas keluhan berat. Entah berfikir atau terbeban dengan persoalan, kutidak pasti. Sungguh aku buntu. Aku buntu memikirkan mengenai hubungan ini. Mampukah aku berubah dan kembali seperti dulu. Aku sendiri tertanya-tanya.
“Saya tak pasti sama ada saya boleh melakukannya. Awak bercakap memang senang. Bukan saya tak pernah cuba tinggalkan ‘benda’ tu, tapi saya tak mampu. Sejauh mana pun saya lari, akhirnya saya masih di situ. Menghambakan diri kepada ‘benda’ haram tu.”
“Mana pergi semangat awak. Awak kena sentiasa dekatkan diri kepada Allah. Ingat pada pengorbanan ibubapa awak yang sentiasa berharap bahawa awak akan pulih. Masa hadapan awak. Sampai bila awak mahu jadi seperti ini. Awak belajar tinggi-tinggi, kemudian bekerja siang malam tapi habiskan duit awak dengan membeli ‘benda’ haram tu. Sampai bila?”
***
“Ustaz dikunci dan dibiarkan seorang diri di dalam sebuah kamar yang gelap. Ustaz tidak dibenarkan sesekali keluar. Kamar itu hanya mempunyai sebuah tingkap kecil untuk memasukkan makanan. Pada mulanya ustaz kuat hadapi desakan dan ketagihan. Namun semuanya hanya bertahan beberapa hari. Sungguh makanan setan itu telah mempengaruhi jiwa dan raga. Ustaz mula meracau kerana ketagih. Pedih dan seksanya menyusuk sehingga ke tulang.”
“Ustaz, bagaimanakah ustaz menghilangkan rasa ketagihan itu dan apakah cara rawatan yang digunakan?”
“Ketika ustaz di rumah rawatan dahulu. Setiap kali ustaz mengamuk oleh kerana ketagihan, petugas di rumah rawatan akan memandikan ustaz dengan air yang sejuk untuk menghilangkan rasa ketagih. Sewaktu itu, keadaan ustaz tidak terurus. Selepas dimandikan dengan air sejuk akibat mengamuk, biasanya ustaz akan keletihan sehingga tertidur. Tetapi apabila bangun sahaja daripada tidur, ustaz akan merasa ketagihan itu datang kembali. Badan terasa sakit-sakit dan panas sejuk. Mujur waktu itu ada seorang sahabat. Dialah yang setiap hari datang dan berteleku di hadapan pintu kamar. Membacakan Kalam Allah dan menitipkan kata-kata semangat. Saban hari dia berkunjung ke kamar kelam tanpa jemu. Lama-kelamaan, ustaz mula sedar dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui. Alhamdullillah. Berkat doa kepada Allah, ustaz pulih.”
“Berapa lamakah ustaz mengambil masa untuk pulih dan tinggal di rumah rawatan?”
“Lama juga. Ustaz pulih sepenuhnya setelah tiga bulan berada di situ tetapi ustaz berbakti dan bertugas di rumah itu sehingga genap setahun. Ustaz bagaikan terpangil untuk berbakti di situ. Tempat dimana ustaz menemui diri sendiri yang hilang. Tambahan pula ketika itu, sahabat ustaz yang banyak memberikan dorongan turut sama menjadi sukarelawan di situ. Ketika itu, banyak program-program kesedaran yang kami jalankan dengan mensasarkan golongan awal remaja seperti kamu semua. Supaya kamu semua dan rakan-rakan diluar sana tidak leka dan tersesat dalam mencari jalan dan arah tuju hidup.”
“Ustaz, selepas keluar daripada rumah rawatan. Adakah orang sekeliling boleh menerima ustaz seperti sebelumnya?”
“Ermm...tidak juga. Ada yang masih belum yakin dan mengatakan bahawa orang yang pernah terjebak dengan ‘benda’ seperti itu tidak akan pernah berubah. Oleh kerana itulah, ramai dikalangan bekas penagih yang kembali menagih kerana dikeji dan dibuang masyarakat, walaupun setelah pulih daripada menagih. Oleh kerana kurang sokongan dan dorongan, golongan ini mudah terjebak semula. Pada mulanya, ustaz juga begitu. Keluarga ustaz dicemuh dan ustaz dipulaukan penduduk kampung. Tapi lama kelamaan, mereka boleh menerimanya. Mereka mula sedar bahawa, setiap manusia itu mampu berubah dan boleh menjalani hidup seperti biasa sama seperti orang lain.”
“Ustaz, tadi ustaz ada menyebut tentang sahabat uztaz. Di mana sahabat ustaz berada sekarang?”
“Dia dah lama meninggalkan kita. Selepas ustaz keluar daripada rumah rawatan, ustaz melanjutkan pelajaran ke Jordan dalam bidang syariah. Berbeza dengan pengkhususan ustaz sebelumnya iaitu sebagai jurutera. Allah itu Maha Adil dan mungkin sudah tertulis bahawa ini adalah takdirnya. Mungkin bukan jodoh kami, dia berkahwin dan meninggal dunia semasa melahirkan anaknya yang pertama. Ketika itu, ustaz masih di Jordan. Ustaz masih ingat kata-katanya semasa ustaz bertanya akan dirinya mengapa dia sanggup bersusah payah memulihkan ustaz.”
“Saya mahu mengembalikan awak kepada diri awak sendiri. Bukan kerna cinta kita atau sayang saya, tapi awak. Awak yang bergelar sahabat. Awak yang bersama-sama dengan saya ketika diwaktu susah dan senang.” Tulus ujarannya membuat aku tersedar dari terbabas di lencongan tajam.
“Jadi sebagai seorang manusia yang taat akan agamanya. Kita hendaklah kembali ke jalan yang benar dan bermunajat kepada-Nya, semoga akan dipermudahkan urusan kita. Apa yang penting, kita haruslah sentiasa mengingati bahawa ramai orang di luar sana yang sayangkan kita dan bergantung harap kepada kita. Oleh itu, kita seharusnya tidak membiarkan harapan yang diletakkan di bahu kita tersia-sia begitu sahaja. Tidak bermakna bahawa sekali kita terbabas maka selamanya kita akan tewas. Masih ada jalan untuk menyelesaikan setiap masalah yang ada. Kita perlulah berusaha untuk mengubah hidup dan nasib kita.
***
“Haikal, mari sini nak.”
“Ada apa ayah. Kenapa ayah panggil Kal.”
“Ayah sengaja panggil Kal, nak ajak Kal berbual. Kal jangan ganggu ibu. Ibu sedang memasak. Bahaya kalau Kal duduk dengan ibu di dapur.”
“Kenapa pulak ayah?”
“Ibukan tengah memasak. Makanan yang terhidang diatas meja masih panas. Kalau terkena atau tertumpah pada Kal. Kal boleh melecur tau. Lagi pula banyak perkakasan di dapur merupakan peralatan yang tajam. Kalau terkena Kal, bahaya. Faham?”
“Faham ayah, lain kali Kal tidak akan ganggu ibu lagi. Kal akan duduk diam-diam.”
“Macam itulah anak ayah. Kal bila besar nanti hendak jadi apa?”
“Kal mahu jadi jurutera. Mahu bina rumah yang besar untuk ayah dan ibu.”
“Eh, iya. Untunglah ayah kalau macam itu. Habis rumah kita sekarang mahu buat apa Kal?”
“Ermm...kita robohkan.”
“Eh! Kenapa mahu robohkan pula?”
“Yalah, kalau kita tak robohkan rumah kita sekarang. Macam mana Kal nak bina rumah baru untuk ayah dan ibu.”
“Pandainya anak ayah. Kal, ayah dengan ibu tidak perlukan rumah besar atau mewah. Kal satu-satunya anak ayah dan ibu. Bagi kami cukuplah melihat Kal membesar dan berjaya kelak. Kal mesti janji dengan ayah yang Kal akan belajar bersungguh dan menjadi seorang anak yang soleh.”
“Kal janji ayah. Kal janji yang Kal akan jaga ayah dan ibu. Kal akan belajar bersungguh-sungguh dan Kal akan jaga ayah dan ibu bila Kal dah besar nanti.”